Tuesday, January 31, 2017

Ciri- ciri bilik darjah pada masa hadapan.




Suasana pengajaran dan pembelajaran yang selesa merupakan salah satu faktor keberkesanan dalam penerimaan isi pengajaran dan pembelajaran dalam diri kanak- kanak. Susun atur kelas, keadaan yang bersih/ selamat, kaedah penyampaian pengajaran dan juga penggunaan bahan bantu mengajar yang bersesuaian menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan. Memandangkan kanak- kanak pada masa kini lebih bersifat inovasi, dengan itu para guru perlu meyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih bersesuian dengan tahap pengetahuan kanak- kanak berbanding kaedah yang digunakan pada cara lama yang mana lebih tradisional. Tidak dinafikan, walaupun dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara tradisonal banyak membantu kanak- kanak untuk  berkembang akan tetapi dengan cara itu, kanak- kanak akan mudah bosan semasa berada dalam kelas dan mungkin juga guru tidak dapat mengesan dan mengasah kemahiran sedia ada kanak- kanak. Dengan itu sebagai guru, penyesuaian dalam bilik darjah amatlah penting pada masa kini bagi membantu kanak- kanak dan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar serta bersesuaian dengan keselesaan kanak- kanak. Pada pendapat saya, terdapat beberapa ciri- ciri bilik darjah yang boleh diguna pakai untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian dan penerimaan ilmu dalam bilik darjah pada masa hadapan antaranya;

1.1 Contoh gambar bilik darjah yang menggunakkan teknologi sepenuhnya.
Bilik darjah yang menggunakan teknologi sepenuhnya.
Penggunaan teknologi seperti komputer, televisyen dan radio mungkin sudah banyak digunakan dalam bilik darjah sebelum ini, akan tetapi bilik darjah yang lebih berkesan adalah dengan penggunaan teknologi sepenuhnya dalam setiap mata pelajaran yang disampaikan oleh guru dan bukan hanya tertumpu kepada mata pelajaran yang tertentu sahaja seperti sains dan teknologi. Dengan pembangunan yang pesat pada masa kini, kanak- kanak perlu didedahkan dengan teknologi yang canggih dengan lebih kerap agar mereka dapat bersemuka dengan dunia yang lebih mencabar dimasa hadapan. Contoh gambar bilik darjah 1.1 di atas , merupakan salah satu keadaan bilik darjah yang menggunakan teknologi dengan sepenuhnya.




1.2 contoh bilik darjah lebih berinovasi dan kreatif.
Sesi pengajaran dan pembelajaran yang lebih berinovasi dan kreatif.
Keseronokan dalam pengajaran dan pembelajaran juga perlu diterapkan dalam sesi penyampaian agar kanak- kanak sentiasa bermotivasi untuk belajar dan tidak mudah bosan semasa berada dalam kelas. Kanak- kanak yang dilahirkan dalam abad ke-21 kini lebih aktif dan bersemangat tinggi berbanding dengan kanak- kanak pada zaman dahulu. Dengan itu, guru perlu sentiasa mencari ilham untuk menarik perhatian kanak- kanak untuk terus fokus semasa berada dalam bilik darjah. Perubahan struktur penyampaian yang sentiasa berubah membuatkan kanak- kanak berasa seronok dan tertarik untuk mengikuti slot pengajaran dan pembelajaran serterusnya. Dengan pengubahsuaian bilik darjah juga, minda atau kognitif kanak- kanak akan menjadi lebih kreatif serta berinovasi dalam mencipta sesuatu yang baru. Contohnya seperti dalam gambar 1.2, keadaan bilik darjah boleh diubahsuai susun atur/ keadaan mengikut tema pembelajaran pada masa tersebut berdasarkan dengan kesesuaian objektif pengajaran. Walaupun dengan kaedah ini, guru perlu melakukan tugas yang sukar dan pelbagai akan tetapi objektif pengajaran akan tercapai.


 



 1.3 Bilik darjah berkonsepkan konstruktivisme.

Bilik darjah yang menggunakan kaedah konstruktivisme sepenuhnya.
Pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan kepada murid merupakan salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran secara konsrtuktivisme yang sangat membantu dalam mengetahui kemahiran sedia ada kanak- kanak. Kanak- kanak perlu diberikan peluang untuk menentukan isi pembelajaran yang mereka inginkan dengan bantuan dan bimbingan guru agar tidak terkeluar dari objektif pengajaran. Kanak- kanak juga perlu diberikan peluang untuk meneroka dunia luar bilik darjah bagi mengasah bakat sedia ada atau menambah pengetahuan mereka dengan benda atau bahan maujud yang terdapat di persekitaran. Di Sabah terutamanya dikawasan pedalaman, kaedah pengajaran dan pembelajaran secara konstruktivisme ini masih kurang digunakan. Ini mungkin adalah kerana pihak sekolah mempunyai bajet perbelanjaan yang terhad atau mungkin kaedah ini belum diguna pakai secara meluas oleh para pengasuh dan pendidik dalam pendidikan awal kanak- kanak. Contoh gambar bilik darjah 1.3 merupakan antara kaedah yang boleh digunakan oleh guru dalam bilik darjah seperti sesi soal jawab, hands- on serta pengajaran berasaskan projek atau eksperimen. Bilik darjah konstruktivisme ini membantu kanak- kanak untuk menimba ilmu dan mengasah bakat sedia ada serta membantu guru dalam proses mengenalpasti kelebihan setiap kanak- kanak.

Kesimpulannya, bilik darjah yang berteknologi tinggi, kondusif, kreatif dan berkonsepkan konstruktivisme boleh membantu kanak- kanak berkembang secara holistik dan semulajadi. Suasana bilik darjah yang sesuai membantu proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan lebih berkesan. Justeru itu, wawasan 2020 dan falsafah pendidikan negara juga akan tercapai dengan lebih berkesan apabila adanya suasana bilik darjah yang sesuai. Ini adalah kerana, selain rumah, pendidikan adalah bermula daripada bilik darjah di mana kanak- kanak mula mengenal huruf serta persekitaran mereka. Pihak berwajib dan pihak sekolah perlulah mengambil langkah yang bijak dalam menentukan permulaan perjalanan kanak- kanak dalam menimba ilmu. Seperti kata pepatah "Melentur buluh biarlah dari rebung".

Sekian, terima kasih.








            

No comments:

Post a Comment