Tuesday, January 31, 2017

Kelebihan Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran & Pembelajaran Di Taska atau Tadika.

Instructional Technology Development In Early Childhood.

PENDAHULUAN.
Penggunaan teknologi komputer di taska atau tadika pada masa kini merupakan satu bahan bantu mengajar yang tidak asing lagi. Penggunaan komputer yang semakin meluas ini, memberi banyak manfaat kepada kanak- kanak, pengasuh serta pendidik dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Teknologi komputer mula digunakan dengan meluas di Malaysia pada tahun 1997 yang mana konsep sekolah bestari diperkenalkan bagi mencapai wawasan 2020. Justeru, dalam pengajaran dan pembelajaran awal kanak- kanak di peringkat pra-sekolah, multimedia memainkan peranan yang penting kerana kanak- kanak memerlukan satu pembelajaran yang menarik bagi memastikan proses menimba ilmu dalam kalangan mereka lebih berkesan (Ahmad Esa, Baharom Mohamad, Siti Nasrah Mukhtar 2007). Selain keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran, penggunaan komputer juga memberi banyak kebaikkan terhadap kanak- kanak antaranya seperti memberikan motivasi, berpengetahuan luas tentang dunia luar, mengajar kepelbagaian kepada kanak- kanak, melatih dan mengembangkan motor halus kanak- kanak, megembangkan kognitif seperti daya kreativi, imaginasi dan literasi.

MEMBERIKAN MOTIVASI.
Sesi atau suasana pembelajaran yang menyeronokkan merupakan satu situasi yang sangat menyenangkan untuk kanak- kanak bahkan untuk pengasuh dan pendidik, justeru memberikan motivasi kepada kanak- kanak dan guru untuk meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran. Suasana pembelajaran yang seronok membuatkan kanak- kanak tidak mudah bosan berada dalam kelas dan membantu penerimaan pembelajaran. Penggunaan komputer memberikan kanak- kanak keseronokan jika digunakan dengan sebaiknya. Perisian komputer yang pelbagai membolehkan kanak- kanak mendapatkan keseronokan walaupun hanya dengan mempelajari bentuk- bentuk huruf atau abjad menggunakan komputer. Dengan keseronokan yang dirasakan peningkatan motivasi diri kanak- kanak untuk terus belajar turut diperlihatkan. Motivasi adalah bahan asas pembelajaran. Bahan- bahan yang menarik dan persekitaran yang memberansangkan akan menimbulkan perasaan ingin tahu kanak- kanak dan mendorong mereka untuk belajar (Nor Hasimah Hashim: Jurnal Keseronokan bersekolah di Malaysia. Suatu kritikan terhadap kurikulum persekolahan semasa). Telah membuktikan bahawa motivasi diri sangat penting dalam pengajaran- pembelajaran.


MEMBERIKAN PENGETAHUAN LUAS.
Penggunaan komputer dalam pengajaran- pembelajaran juga boleh memberikan pengetahuan yang tidak terhad/ luas kepada kanak- kanak. Penggunaan komputer yang mempunyai akses Internet disekolah membolehkan kanak- kanak dapat menimba ilmu, tetapi dengan bimbingan guru agar tidak disalah gunakan. Menurut Hayes (2006), teknologi komputer membantu dalam pembelajaran pelajar dengan membolehkan pelajar memperolehi maklumat. Dengan maklumat yang diperolehi kanak- kanak menambah ilmu pengetahuan yang tidak terhad dan lebih meluas berbanding dengan kanak- kanak yang tidak menggunakan komputer dalam pembelajaran. Ini menunjukkan bahawa komputer tidak dapat dinafikan berfungsi sebagai alatan teknologi untuk meningkatkan kebolehan serta bakat pelajar, merevolusikan cara pemikiran mereka dan memberi akses kepada dunia (Johan, Peck & Darricott, 1994). Contohnya, di sekolah pendidik membantu kanak- kanak melayari internet untuk memperkenalkan kepada kanak- kanak jenis haiwan yang hanya terdapat di luar negara seperti beruang kutub serta penguin. Dengan cara ini, kanak- kanak menimba ilmu bahawa di luar sana terdapat banyak jenis haiwan selain yang terdapat di Malaysia.

 
MENGAJAR KEPELBAGAIAN KEPADA KANAK- KANAK.
Menangani isu kepelbagaian dalam diri kanak- kanak perlulah dipupuk dari awal usia lagi. Dengan penggunaan komputer ini, boleh membantu guru dalam mengajar dan memperkenalkan kepelbagaian kepada kanak- kanak. Kanak- kanak dapat mengetahui tentang budaya lain sama ada yang terdapat di Malaysia ataupun di luar negara hanya dengan menggunakan hujung jari mereka. Mengetahui tentang diri dan orang lain, membantu kanak- kanak untuk bersikap lebih matang apabila berdepan dengan pelbagai jenis orang semasa berada dalam persekitaran orang ramai. Ini boleh membantu kanak- kanak untuk meningkatkan perkembangan sosial mereka. Contohnya kanak- kanak yang pernah menggunakan komputer dengan akses internet, mendapat pengetahuan bahawa dalam dunia ini mempunyai pelbagai jenis budaya terutamanya kepelbagaian budaya di Malaysia iaitu seperti Cina, India, Melayu serta pelbagai etnik lagi di Sabah & Sarawak. 

  
MELATIH DAN MENGEMBANGKAN MOTOR HALUS. 
Motor halus kanak- kanak juga dapat berkembang dengan baik dengan penggunaan komputer. Menekan papan kekunci komputer membantu jari jemari kanak- kanak terlatih. Pencarian huruf pada papan kekunci membantu tangan kanak- kanak aktif bergerak dan mencari huruf atau abjad yang ingin digunakan. Contohnya seperti dalam gambar di atas, kanak- kanak menggunakan komputer untuk menaip huruf menjadikannya menjadi satu perkataan yang difahami. Semasa proses mencari huruf pada papan kekunci tangan dan jemari kanak- kanak akan bergerak untuk mendapatkan huruf yang sesuai. 

 
   
MENGEMBANGKAN KOGNITIF SEPERTI DAYA KREATIVITI, IMAGINASI DAN LITERASI.
Perkembangan kognitif kanak- kanak secara langsung boleh dipertingkatkan dengan adanya pengalaman dan pengetahuan menggunakan komputer. Minda kanak- kanak akan lebih aktif dengan bantuan penggunaan komputer. Daya kreativiti, daya imaginasi dan seterusnya literasi kanak- kanak berkembang selaras dengan kemajuan penggunaan komputer. Menerusi pemerhatian kanak- kanak dengan semua pengalaman yang mereka lalui semasa menggunakan komputer, kanak- kanak membina pengetahuan baru. Salah satu contohnya adalah seperti gambar di atas yang mana, kanak- kanak belajar bahasa menggunakan komputer yang mempunyai audio visual "talking laptop" dan mengembangkan daya imaginasi mereka dengan sistem animasi yang terdapat pada perisian komputer. 

     

KESIMPULAN.
Mendedahkan kanak- kanak terhadap dunia teknologi adalah perlu apatah lagi pada era serba moden ini. Zaman yang serba canggih dan mencabar ini, membuatkan kanak- kanak perlu bersedia seawal usia lagi agar tidak ketinggalan dalam mengapai impian serta persaingan dalam mendapatkan pekerjaan. Pengasuh dan pendidik berperanan penting dalam membantu kanak- kanak untuk mencapai impian dengan didikan sejak awal usia lagi. Penggunaan komputer secara bersistematik dalam bilik darjah atau proses pengajaran- pembelajaran membantu kanak- kanak untuk berkembang secara holistik dari segi JERIS mereka. Oleh itu, pengasuh dan pendidik perlu peka terhadap perkembangan yang sejajar dengan kemajuan dunia pada masa depan dan seterusnya dapat membentuk kanak- kanak yang berdaya saing secara sihat pada masa hadapan. 

Sekian, terima kasih.


No comments:

Post a Comment